SHAH ALAM, 12 MAC: Seramai 42 warga asing ditahan dalam Ops Selera dan Ops Gegar yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor di sekitar daerah Petaling dan Klang pada 14 Februari lalu.
JIM Selangor memaklumkan operasi bermula jam 5 petang dengan melibatkan 22 pegawai imigresen, susulan maklumat awam serta aduan yang diterima pihak jabatan.
Menurutnya, pemeriksaan dijalankan di beberapa premis perniagaan termasuk restoran, pusat refleksologi dan premis hiburan di sekitar Kota Kemuning dan Bandar Bukit Raja, Klang.
“Hasil operasi mendapati seramai 47 individu diperiksa, manakala 42 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Warga asing yang ditahan terdiri daripada beberapa warganegara termasuk Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Myanmar, Thailand dan Vietnam,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, JIM Selangor memaklumkan dua saman saksi telah dikeluarkan dan seorang majikan turut diambil tindakan bagi membantu siasatan.
“Antara kesalahan yang dikesan termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan, serta kesalahan di bawah Peraturan 39B, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua tahanan telah dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
JIM Selangor menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan majikan dan warga asing mematuhi undang-undang imigresen negara.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mempercayai mana-mana individu yang menyamar sebagai pegawai imigresen atau menggunakan nama serta gambar pegawai untuk tujuan penipuan,” katanya.







