Aidan Fahim hidap hidrosefalus terima kerusi roda khas RM5,000

11 Mac 2026, 1:00 PM
Aidan Fahim hidap hidrosefalus terima kerusi roda khas RM5,000

HULU SELANGOR, 11 MAC: Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) menyerahkan kerusi roda khas bernilai RM5,000 kepada seorang kanak-kanak tujuh tahun yang menghidap hidrosefalus, bagi membantu memudahkan pergerakan dan meningkatkan keselamatannya.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata bantuan itu disalurkan kepada Aidan Fahim Mohd Salfarulizaman menerusi program Bantuan Anak Istimewa Selangor (ANIS).

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari melawat anak kecil Aidan Fahim yang mengidap penyakit Hidrosefalus di Serendah pada 11 Mac 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Kerusi roda khas ini direka mengikut bentuk fizikal kanak-kanak dan juga boleh digunakan sebagai kerusi keselamatan dalam kenderaan. Ia memudahkan pergerakan ibunya yang perlu membawa Aidan ketika menghantar anak-anak lain ke sekolah.

“Kita berharap bantuan ini bukan sahaja dapat meringankan beban keluarga, malah memastikan keselamatan Aidan terutama ketika berada di jalan raya,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut Anfaal, sejak diperkenalkan pada 2020, program ANIS telah memberi manfaat kepada lebih 7,000 penerima di seluruh Selangor.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari bertemu media ketika serahan Bantuan Khas ANIS kepada keluarga Adik Aidan Fahim yang mengidap penyakit Hidrosefalus di Serendah pada 11 Mac 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Terdahulu, beliau turut meluangkan masa meninjau keadaan Aidan Fahim yang disahkan menghidap hidrosefalus, iaitu pengumpulan cecair serebrospinal (CSF) secara berlebihan dalam otak.

Dalam perkembangan sama, Anfaal memaklumkan permohonan baharu bantuan ANIS bagi tahun ini akan dibuka pada April.

“Bantuan ini semakin dikenali, namun permintaan juga tinggi dan proses kelulusan mengambil masa. Permohonan baharu akan dibuka pada April dan maklumat lanjut akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, ibu Aidan Fahim, Nursuhada Jaafar, 37, berkata anaknya disahkan menghidap hidrosefalus ketika kandungannya berusia 18 minggu.

Mohd Saifarulizaman mendukung Aidan Fahim yang mengidap penyakit Hidrosefalus di Serendah pada 11 Mac 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Menurutnya, beliau sudah lama berusaha mendapatkan kerusi roda khas itu namun tidak mampu membelinya kerana harganya melebihi RM5,000.

“Saya mencari kerusi roda ini sejak 2024, tetapi tidak mampu membelinya. Apabila dimaklumkan permohonan bantuan diluluskan, saya menangis kerana terlalu bersyukur.

“Anak bongsu saya semakin besar dan agak berbahaya jika diletakkan di belakang kereta. Aidan pernah menendang gear kereta sehingga kepalanya terhantuk. Memang berisiko tetapi ketika itu kami tiada pilihan,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.