SHAH ALAM, 10 Mac: Seramai 25 warga asing ditahan dalam serbuan ke atas sebuah premis kitar semula yang beroperasi tanpa lesen di Jalan Bestari, Kapar, Klang semalam.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kesemua suspek berusia antara 24 hingga 63 tahun dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta permit kerja yang sah.
“Serbuan dilakukan pada jam 3.15 petang oleh Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemeriksaan mendapati premis tersebut menjalankan aktiviti kitar semula barangan plastik dan dipercayai telah beroperasi kira-kira enam bulan tanpa permit daripada pihak berkuasa tempatan.
“Polis turut merampas satu unit dekoder kamera litar tertutup (CCTV), dua mesin perakam waktu beserta papan kad perakam, serta dua alat kawalan jauh pintu pagar utama premis,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Perniagaan Sekenhend 1946, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.








