SHAH ALAM, 1 DIS: Pelbagai inisiatif sudah, sedang dan akan dilakukan polis Selangor terutama di kawasan perumahan bagi memantau kes jenayah termasuk pecah rumah, curi kenderaan dan kecurian lain.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, rondaan sudah dipertingkatkan membabitkan kereta peronda polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dengan turut membuat kajian kawasan 'hotspot'.
Menurutnya, tiada rondaan bersifat tanpa tujuan. Ia perlu bersandarkan kepada analisis dan kajian kawasan tumpuan jenayah.
"Selain itu, kita menumpukan perhubungan dengan komuniti setempat kerana komunikasi dua hala membantu kedua-dua pihak yang mana masyarakat menyalurkan maklumat kepada polis dan polis juga berkongsi maklumat jenayah di kawasan mereka.
"Kita juga sedang mempergiat promosi Aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) kerana keahliannya masih rendah.
"VSP penting terutama musim perayaan kerana pengguna boleh memaklumkan kepada polis jika meninggalkan rumah, menyalurkan maklumat atau menggunakan 'panic button' untuk tindakan segera," katanya lapor Harian Metro.
Shazeli berkata, dengan VSP, polis tahu rumah yang kosong dan boleh beri lebih tumpuan serta mengesahkan status tindakan terhadap maklumat yang diterima.
"Selain promosi berterusan, kita juga tingkatkan libat urus komuniti bagi memberi kesedaran kepada penduduk yang mungkin terlupa langkah keselamatan yang boleh membuka ruang kepada penjenayah melakukan jenayah," katanya.
Mengulas berkenaan indeks jenayah, beliau berkata, 13,739 kes dicatatkan pada 2023 dan berlaku penurunan kes disebabkan pengurusan dan pentadbiran PDRM yang bagus di mana penurunan 1,825 kes atau 13.28 peratus pada 2024.
"Bagaimanapun, bagi tahun ini mengikut data terkumpul dari Januari sehingga Oktober lalu, jumlah kes dicatatkan menunjukkan sedikit peningkatan.
"Dalam tempoh sama pada 2024, berbanding tahun ini ada peningkatan lebih kurang 7.32 peratus namun ia tidak begitu membimbangkan kerana masih dalam kawalan PDRM. Statistik itu membabitkan pelbagai kes termasuk kes jenayah harta benda," katanya.
Katanya, sejak menjawat jawatan itu, tidak dinafikan beliau berdepan beberapa kes menarik perhatian dan 'high profile.'
"Dalam menguruskan kes seperti itu, saya mengarahkan pegawai untuk menguruskan kes dengan menjalankan siasatan segera namun pastinya ia perlu dilakukan secara telus dan menyeluruh.
"Kita tidak boleh terlalu mudah membuat dapatan dengan hanya siasatan awal. Saya tidak hanya mahu cepat membuat keputusan kerana kita mahu memastikan siasatan dilakukan secara telus dan adil kepada mangsa, pengadu dan suspek," katanya.


