STR diawalkan legakan penerima buat persiapan Aidilfitri

11 Mac 2026, 8:32 AM
STR diawalkan legakan penerima buat persiapan Aidilfitri
STR diawalkan legakan penerima buat persiapan Aidilfitri
STR diawalkan legakan penerima buat persiapan Aidilfitri
STR diawalkan legakan penerima buat persiapan Aidilfitri

SHAH ALAM, 11 MAC: Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang dimasukkan lebih awal memberi kelegaan kepada penerima untuk membuat persiapan menjelang Aidilfitri.

Peniaga nasi lemak Nora Azila Abidin, 43, berkata beliau menerima STR buat kali keempat dan memperoleh bantuan RM300 yang banyak membantu perbelanjaan menjelang perayaan.

“Alhamdulillah STR masuk awal. Boleh beli persiapan raya terutama baju anak-anak,” katanya.

Peniaga nasi lemak Nora Azila Abidin, 43. Foto AIDA NYAN/MEDIASELANGOR

Ibu tiga anak itu berkata hari raya memerlukan perbelanjaan lebih besar apatah lagi anak-anak semakin dewasa selain jualan nasi lemak agak perlahan ketika ini.

“Sebenarnya, kalau untuk belanja ketika raya tu macam kurang sikitlah sebab banyak yang keluar. Saya harap bantuan STR dapat dinaikkan pada masa akan datang,” katanya.

Anggota RELA yang hanya mahu dikenali Abd Razak, 53, berkata bantuan yang dimasukkan lebih awal itu akan digunakan untuk membeli pakaian anak-anak.

“Terima kasih kepada kerajaan sebab masukkan awal bantuan STR. Bolehlah beli baju raya budak-budak,” katanya.

Anggota RELA Abd Razak, 53, Foto AIDA NYAN/MEDIASELANGOR

Beliau yang mempunyai empat tanggungan berkata persiapan Aidilfitri memerlukan kos tinggi terutama untuk pakaian dan keperluan anak-anak.

Sementara itu, peniaga masakan Pantai Timur yang hanya mahu dikenali Intan Roslinda, 45, berkata bayaran STR itu dapat membantu kewangan keluarganya.

“Kalau ikut ekonomi sekarang memang tak cukup, tapi daripada tak dapat sekurang-kurangnya ada,” katanya yang berniaga sejak tiga tahun lalu.

Peniaga makanan Intan Roslinda, 45. Foto AIDA NYAN/MEDIASELANGOR

Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bayaran STR Fasa 2 diawalkan dan mula dikreditkan secara berperingkat mulai semalam, melibatkan peruntukan RM1.3 bilion yang memberi manfaat kepada 5.2 juta penerima.

Maklumat lanjut mengenai STR boleh diperoleh menerusi portal rasmi di https://bantuantunai.hasil.gov.my

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.