Jawatankuasa bencana Petaling jalani simulasi, tingkat kesiapsiagaan hadapi insiden

10 Mac 2026, 1:27 PM
Jawatankuasa bencana Petaling jalani simulasi, tingkat kesiapsiagaan hadapi insiden

SHAH ALAM, 10 MAC: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling melaksanakan beberapa latihan simulasi bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi sebarang insiden kecemasan, susulan kejadian letupan paip gas di Putra Heights tahun lalu.

Pegawai Daerah Petaling Huzunul Khaidil Mohamed berkata latihan itu melibatkan pelbagai agensi barisan hadapan selain menumpukan kepada penambahbaikan tatacara operasi piawai (SOP) serta pemantauan berkala di kawasan berisiko.

“Langkah ini bagi memastikan tahap kesiapsiagaan sentiasa berada pada tahap optimum. Antara latihan simulasi yang dijalankan termasuk senario serangan gas beracun di Lapangan Terbang Subang serta kebakaran di stesen minyak di Seksyen 27.

“Jawatankuasa juga melaksanakan latihan pemindahan penduduk secara berskala besar di SS19 Subang Jaya selain simulasi penculikan rombongan VIP dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Berbuka Puasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bersama rakyat serta penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, petang tadi.

Menurut Huzunul Khaidil, sepanjang tahun lalu kemudahan di pusat pemindahan sementara (PPS) turut dinaik taraf, termasuk penyediaan tempat ibadat, sistem sanitasi, bekalan elektrik, ruang penginapan serta kemudahan khusus untuk warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melalui Skuad Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) telah melaksanakan Kursus Simulasi Menyelamat dengan kerjasama Special Malaysia Disaster Assistance and Rescue Team (SMART) pada 9 September 2025. Foto Instagram pjcitycouncil

Katanya, langkah tersebut diambil bagi memastikan keselesaan serta kebajikan mangsa bencana sentiasa terpelihara sepanjang tempoh mereka ditempatkan di PPS.

Dalam sembah ucapan sama, beliau turut mewakili mangsa kejadian di Putra Heights merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menguruskan bencana letupan tersebut.

“Semua agensi bekerja keras siang dan malam bagi memastikan kebajikan mangsa terjaga, keselamatan penduduk dan harta benda terpelihara serta kawasan terjejas dipulihkan sepanjang tempoh operasi penyelamatan dan fasa pemulihan.

“Pelbagai pihak juga menunjukkan keprihatinan dengan menyalurkan bantuan seperti kewangan, makanan, pakaian, persediaan persekolahan, pengangkutan, penjagaan kesihatan serta bantuan membaik pulih kediaman yang terjejas,” katanya.

Insiden kebakaran pada pagi 2 Syawal itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, manakala 81 lagi rumah separa musnah dan 57 unit terkesan tetapi tidak terbakar.

Susulan kejadian itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan sejumlah RM2.19 juta diperuntukkan bagi fasa pertama bantuan sewa rumah kepada 365 ketua isi rumah (KIR), dengan setiap keluarga menerima RM2,000 sebulan.

Dana tersebut disalurkan kepada 456 keluarga, dengan setiap keluarga menerima RM6,000 bagi tempoh tiga bulan secara berfasa.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Penyerahan Bantuan Sewa Rumah Kepada Mangsa Insiden Kebakaran Paip Gas Putra Heights Daerah Petaling di Foyer SUK, Shah Alam pada 30 April 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Kerajaan Negeri turut meluluskan bantuan sewa fasa kedua bagi tempoh Julai hingga September melibatkan 144 KIR dengan jumlah pembayaran RM864,000.

Bagi fasa ketiga, bantuan melibatkan 123 KIR dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM738,000.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.