Krisis kemanusiaan Aceh: Wakil rakyat desak Prabowo buka akses bantuan antarabangsa

15 Dis 2025, 6:28 AM
Krisis kemanusiaan Aceh: Wakil rakyat desak Prabowo buka akses bantuan antarabangsa

SHAH ALAM, 15 DIS: Ahli Dewan Perwakilan Rakyat Aceh (DPRA) merangkap Timbalan Pengerusi Suruhanjaya I, Rusyidi Muktar atau dikenali sebagai Ceulangiek, menggesa Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, supaya membuka akses kepada bantuan antarabangsa bagi membantu Aceh yang kini berdepan krisis kemanusiaan susulan banjir besar dan tanah runtuh.

Beliau berkata, hampir keseluruhan wilayah Aceh terjejas dengan skala kemusnahan yang disifatkan amat serius dan luar biasa, melibatkan 23 daerah dan bandar di wilayah berkenaan, lapor Sinar Harian.

“Ini bukan bencana biasa, sebaliknya satu bencana besar yang memusnahkan kehidupan rakyat. Ramai kehilangan tempat tinggal, laluan utama terputus dan kegiatan ekonomi lumpuh sepenuhnya,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan pusat tidak boleh terus berdiam diri dan perlu bertindak segera dengan memberi kebenaran kepada negara sahabat untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Aceh.

“Kerajaan pusat tidak boleh terus berdiam diri. Kami mendesak Presiden bertindak segera serta memberi kebenaran kepada negara sahabat untuk membantu Aceh,” katanya.

Ceulangiek berkata, usaha pengurusan bencana setakat ini masih belum sepadan dengan tahap kemusnahan dan penderitaan yang dialami rakyat Aceh.

“Aceh sedang merintih. Ini bukan masa untuk mesyuarat tanpa tindakan. Jika kerajaan pusat tidak menunjukkan keprihatinan, rakyat Aceh berhak mempertikaikan semula komitmen kebangsaan yang selama ini kami junjung,” katanya dengan nada tegas.

Beliau turut memberi amaran bahawa pengabaian berterusan terhadap nasib rakyat Aceh boleh mencetuskan sentimen yang lebih serius dalam kalangan masyarakat.

“Kami tidak mahu konflik, namun jika keadaan ini terus dibiarkan, kami bersedia berdiri sendiri. Kami mahu Aceh diuruskan dengan serius, penuh keikhlasan dan rasa tanggungjawab. Benarkan dunia membantu Aceh, kerana ini bukan sekadar bencana alam, sebaliknya satu ujian kemanusiaan,” katanya.