MSOSH gesa tindakan tegas terhadap majikan, kes pelajar maut terkena sabit

10 Mac 2026, 12:24 PM
MSOSH gesa tindakan tegas terhadap majikan, kes pelajar maut terkena sabit

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) menggesa pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang terlibat dalam insiden kematian seorang pelajar di Teluk Intan, Perak, selepas terkena sabit berhulu panjang yang dibawa penunggang motosikal lain.

Presiden MSOSH Datuk Wira Ahmad Fakhrul Anuar Ismail berkata tragedi itu menunjukkan kegagalan majikan melaksanakan operasi kerja selamat apabila peralatan kerja menjadi ancaman kepada keselamatan orang awam.

“Kecuaian seperti ini tidak boleh diterima. Jika terdapat unsur kecuaian dalam pengendalian operasi kerja, pihak berkuasa, khususnya Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), perlu bertindak tegas terhadap majikan dan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berpandangan bahawa ahli keluarga mangsa berhak mempertimbangkan tindakan undang-undang bagi menuntut keadilan sekiranya kecuaian terbukti membawa kepada kematian.

Ahmad Fakhrul turut menegaskan tahap kesedaran keselamatan masih belum memadai walaupun pelbagai kempen dijalankan.

Beliau mencadangkan usaha memperkukuhkan kesedaran keselamatan perlu diperluaskan kepada sektor yang menggunakan peralatan tajam seperti pertanian, landskap dan kerja lapangan.

Bagi mengelakkan kejadian serupa, orang ramai dinasihatkan mengambil langkah keselamatan sewajarnya ketika membawa peralatan tajam, termasuk menggunakan sarung pelindung dan kaedah pengangkutan selamat.

“MSOSH merakamkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap insiden ini menjadi peringatan serius agar keselamatan sentiasa diutamakan,” katanya.

Semalam, media tempatan melaporkan Adham Faisal, 17, pelajar Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan, maut apabila lehernya terhiris sabit berhulu panjang ketika motosikal dinaikinya berselisih dengan motosikal membawa senjata itu di Batu 4, Kampung Selabak, Teluk Intan.

Rakan mangsa berusia 18 tahun bagaimanapun hanya mengalami kecederaan pada tangan dan kini sedang menerima rawatan lanjut.

Susulan kejadian itu, polis menahan dua lelaki warga asing berusia 39 dan 52 tahun bagi membantu siasatan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.