SHAH ALAM, 11 MAC: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor terus mempergiat usaha meningkatkan kesedaran awam melalui Program Kempen Keselamatan Kebakaran ‘Siap Siaga Raya’ bagi memastikan tahap keselamatan kekal optimum sepanjang musim perayaan.
Pengarah JBPM Selangor, Dato’ Wan Md Razali Wan Ismail berkata orang ramai diingatkan tidak leka terhadap aspek keselamatan ketika meninggalkan rumah atau dalam perjalanan pulang ke kampung halaman.
Menurutnya, kempen itu memberi penekanan kepada langkah pencegahan kebakaran, khususnya ketika ramai penduduk bandar meninggalkan kediaman sempena sambutan Aidilfitri.
“Pastikan semua suis elektrik yang tidak digunakan ditutup sebelum meninggalkan rumah bagi mengelakkan risiko kebakaran berpunca daripada litar pintas,” katanya ketika melancarkan jentera baharu di perkarangan AEON Mall Shah Alam semalam.
Beliau turut menggalakkan orang ramai menyimpan sekurang-kurangnya satu alat pemadam api mudah alih di dalam kenderaan sebagai langkah persediaan menghadapi kecemasan.
Katanya, langkah itu penting memandangkan terdapat kes kebakaran kenderaan yang berlaku akibat kemalangan jalan raya.
Pada masa sama, masyarakat juga diingat mengelakkan pembakaran terbuka yang berpotensi menyebabkan api merebak ke kawasan sekitar.
Program berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti komuniti termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak, penyampaian sijil serta lawatan pemeriksaan sistem keselamatan kebakaran di premis dalam pusat beli-belah berkenaan.
Majlis tersebut turut menyaksikan gimik pelepasan jentera bomba baharu sebagai simbol kesiapsiagaan pasukan itu dalam memastikan keselamatan orang ramai sepanjang musim perayaan.








