Empat premis pejabat jadi asrama tidak selamat diserbu

27 Sep 2026, 8:30 AM
Empat premis pejabat jadi asrama tidak selamat diserbu

SHAH ALAM, 27 SEPT: Empat premis pejabat yang diubah suai tanpa kebenaran menjadi asrama termasuk untuk pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Kuala Terengganu diserbu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mendapati kesemua premis berkenaan tidak selamat sekiranya berlaku kecemasan termasuk kebakaran.

Pengarah JBPM Terengganu Nor Mahathir Muhammad berkata pemeriksaan mendapati premis terbabit, termasuk asrama pelajar perempuan, berada dalam keadaan sempit dan tidak selesa.

Beliau berkata binaan premis berkenaan juga tidak mengikut spesifikasi ditetapkan selain hanya mempunyai satu laluan keluar.

“Kesemua lokasi bermasalah kerana menukar kegunaan daripada kelulusan asal diberi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ulasan JBPM.

“Kegunaan awal premis untuk pejabat, namun telah dijadikan asrama pekerja dan pelajar,” katanya selepas mengetuai pemeriksaan Operasi Sarang Burung di sebuah asrama pelajar IPT di Jalan Engku Sar, Kuala Terengganu, lapor KOSMO! ONLINE.

Serbuan turut dijalankan di tiga premis lain yang dijadikan asrama pekerja asing di Jalan Masjid Abidin, Jalan Engku Pengiran Anom 2 dan Jalan Sultan Zainal Abidin.

Nor Mahathir berkata keempat-empat pemilik premis asrama berkenaan diberikan notis amaran mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

Menurutnya, pemilik terbabit diarahkan membuat permohonan menukar status kegunaan premis dengan MBKT dalam tempoh seminggu.

Beliau berkata pengubahsuaian lain kemudian perlu dilakukan dalam jangka masa bersesuaian selepas proses permohonan berkenaan dibuat.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.