80 peratus anggota bomba Selangor bertugas pada Aidilfitri

10 Mac 2026, 10:49 AM
80 peratus anggota bomba Selangor bertugas pada Aidilfitri

SHAH ALAM, 10 MAC: Hanya 20 peratus anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri ini dibenarkan bercuti sempena Aidilfitri, manakala selebihnya akan bertugas bagi memastikan kesiapsiagaan jabatan itu kekal pada tahap optimum sepanjang musim perayaan.

Pengarah JBPM Selangor, Dato’ Wan Md Razali Wan Ismail berkata anggota di balai bomba turut dibenarkan mengambil cuti secara bergilir bagi memastikan operasi kecemasan dapat dilaksanakan dengan lancar sekiranya berlaku sebarang insiden.

Menurutnya, 38 balai bomba di negeri ini akan beroperasi dan bersiap siaga selama 24 jam bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang tempoh sambutan Aidilfitri.

“Langkah ini penting bagi memastikan sebarang kejadian seperti kemalangan atau kebakaran dapat ditangani segera,” katanya ketika melancarkan jentera baharu di perkarangan AEON Mall Shah Alam.

Dalam masa sama, beliau berkata JBPM turut mempergiatkan pemeriksaan keselamatan kebakaran di premis perniagaan, khususnya di lokasi tumpuan orang ramai seperti pusat beli-belah.

Katanya, pemeriksaan tersebut bertujuan memastikan semua sistem keselamatan kebakaran termasuk alat pemadam api, alat pengesan asap, sistem semburan air serta laluan kecemasan berada dalam keadaan baik dan berfungsi dengan sempurna.

“Sehingga kini 152 premis perniagaan telah diperiksa oleh JBPM sejak Januari lalu sebagai langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko kebakaran,” katanya.

Beliau menambah usaha itu merupakan sebahagian daripada persediaan jabatan bagi memastikan keselamatan orang ramai terus terjamin sepanjang sambutan Aidilfitri.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.