SHAH ALAM, 10 MAC: Sebanyak 27 barang keperluan diletakkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Aidilfitri yang berkuat kuasa dari 14 hingga 28 Mac ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jumlah barangan tersebut mengandungi satu barangan tambahan berbanding 26 jenis barangan tahun lalu.
“Bagi Semenanjung Malaysia, terdapat penurunan harga maksimum bagi 13 jenis barangan berbanding 2025 iaitu daging kerbau import (India), sawi hijau, lobak merah (China), bawang kuning besar, bawang merah besar, bawang merah kecil India, bawang putih (China), halia tua import, cili kering keriting, kelapa biji, kelapa parut dan santan kelapa.
“Manakala harga maksimum bagi sembilan jenis barangan dikekalkan berbanding 2025 iaitu daging lembu tempatan, ikan aya @ tongkol, ikan kembung, ikan mabung, ikan selayang, kubis bulat import, timun, tomato, kacang panjang dan kacang tanah, manakala satu barangan mengalami kenaikan iaitu cili merah,” katanya ketika sidang akhbar pengumuman SHMMP di sini hari ini, lapor Kosmo.
Sementara itu, Armizan berkata, ikhtiar ini penting untuk pihaknya memastikan sepanjang tempoh perayaan tidak berlaku peningkatan harga terhadap barang keperluan.
“Ketika tempoh perayaan permintaan pastinya meningkat, maka kita khuatir berlaku peningkatan harga.
“Itu sebab kerajaan memperkenalkan program ini dan sebenarnya usaha ini walaupun diumumkan pada hari ini, tetapi kita telah bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, begitu juga dengan industri untuk mendapatkan persetujuan mereka untuk memastikan bekalan daripada awal itu adalah mencukupi termasuklah bekalan yang diimport dari luar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan 910 siri Program Jualan Rahmah Madani dianjurkan manakala 988 lagi siri akan diteruskan sehingga sehari sebelum 1 Syawal.
“Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke KPDN dan beliau menyampaikan amanat agar bekalan barangan ditambah serta memperluaskan jenis Stock Keeping Unit (SKU) bagi memenuhi permintaan rakyat menjelang Aidilfitri.
“Jika sebelum ini purata barangan yang ditawarkan sekitar 40 jenis, bagi minggu terakhir Ramadan jumlah itu akan ditingkatkan kepada minimum 50 jenis barangan,” katanya.












