Bekalan barangan keperluan Krismas terkawal, peniaga patuhi skim harga

23 Dis 2025, 7:00 AM
Bekalan barangan keperluan Krismas terkawal, peniaga patuhi skim harga
Bekalan barangan keperluan Krismas terkawal, peniaga patuhi skim harga
Bekalan barangan keperluan Krismas terkawal, peniaga patuhi skim harga

SHAH ALAM, 23 DIS: Bekalan barangan keperluan sempena sambutan Hari Krismas di Selangor terkawal dengan pemeriksaan bekalan giat dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey berkata pihaknya giat melakukan pemeriksaan bekalan bagi membolehkan tindakan segera dan berfokus dapat dilaksanakan terhadap lokaliti yang terganggu bekalannya.

Selain itu, katanya hasil pemeriksaan sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 setakat ini mendapati, premis memberi kerjasama dan berada pada tahap pematuhan baik, selain kebanyakan barangan di bawah skim dijual pada harga runcit yang lebih rendah daripada harga maksimum ditetapkan.

“Sebanyak 14 jenis barang kawalan diperkenalkan di bawah SHMMP Krismas 2025 namun bagi Semenanjung Malaysia hanya sembilan barang kawalan yang relevan.

“Pemeriksaan pematuhan memfokuskan kepada pematuhan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi memastikan tiada pergerakan harga mendadak ketika musim perayaan.

“Penumpuan pemeriksaan pematuhan penggunaan tanda harga khas berwarna merah jambu, penggunaan alat timbang sukat yang disahkan, pematuhan harga maksimum runcit, keberadaan dan kestabilan bekalan. KPDN Selangor akan terus melaksanakan pemeriksaan sepanjang pelaksanaan skim ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Selain itu, katanya tindakan tegas akan diambil kepada peniaga sekiranya berlaku ketidakpatuhan di bawah SHMMP dengan penalti.

“Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

“Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga merah jambu untuk barangan harga terkawal individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000,” katanya.

Ahad lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali mengumumkan pelaksanaan SHMMP Krismas 2025 berkuat kuasa lima hari bermula hari ini sehingga 27 Disember.

Ia membabitkan sembilan jenis barang di Semenanjung manakala 14 barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Barangan berkenaan adalah daging kambing biri-biri bertulang import; kobis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kobis Beijing); lobak merah (China); tomato; cili merah; lada benggala hijau; bawang merah besar; bawang kuning besar dan ubi kentang import (China).