GOMBAK, 17 Okt: Seramai 207 pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor digerakkan bagi memastikan harga barangan keperluan terkawal sepanjang perayaan Deepavali.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, pemantauan dilakukan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang berkuat kuasa hingga 22 Oktober.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau syarikat yang menjual barangan harga terkawal melebihi kadar maksimum ditetapkan.
“Kita akan ambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga yang ingkar. Penalti boleh mencecah sehingga RM500,000,” katanya pada sidang media Liputan Pemantauan Harga KPDN Selangor di Pasaraya TF Value Mart, Batu Caves, hari ini.
Beliau berkata, sejak skim itu dilaksanakan pada 2023, sebanyak 5,158 pemeriksaan telah dijalankan dan 98 kesalahan dikesan.
"Antara kesalahan itu termasuk peniaga menjual melebihi harga maksimum, gagal mempamerkan tanda harga dan tidak menggunakan tanda harga khas (warna merah jambu)," katanya.
Menurutnya, pemeriksaan hari ini turut disertai 15 pegawai penguat kuasa, bersama pegawai kanan Majlis Perbandaran Selayang dan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak.
“Setakat ini, tahap pematuhan amat baik dan kebanyakan barangan dijual pada harga lebih rendah daripada harga maksimum ditetapkan,” katanya.




