SHAH ALAM, 10 MAC: Sekolah di seluruh negara diberikan cuti tambahan bermula 19 Mac (Khamis) sempena sambutan Aidilfitri berdasarkan kalendar akademik yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Mengikut kalendar semasa, 1 Syawal dijangka disambut pada 21 Mac (Sabtu).
Bagi Kumpulan A yang melibatkan Kedah, Kelantan dan Terengganu, sekolah diberikan satu hari cuti tambahan (19 Mac).
Sementara itu, Kumpulan B yang merangkumi Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya menerima dua hari cuti tambahan pada 19 dan 20 Mac menjelang perayaan tersebut.
Pada masa sama, sekolah turut menikmati cuti penggal pertama selama sembilan hari, dengan Kumpulan A bercuti dari 20 Mac hingga 28 Mac, manakala Kumpulan B dari 21 Mac hingga 29 Mac 2026.
Ketetapan itu memberi ruang kepada murid, guru dan warga sekolah untuk membuat persiapan Aidilfitri selain merancang perjalanan pulang ke kampung dengan lebih teratur.








