KUALA LUMPUR, 9 MAC: Bahagian Seksyen 4 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di persimpangan Lebuhraya Persekutuan akan dibuka sebelum Aidilfitri ini, sekali gus memberi kemudahan sementara untuk pengguna bagi perjalanan antara Petaling Jaya, Subang, Shah Alam and Klang di Selangor.
Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Libat Urus WCE Holdings Bhd, Syed Mohammed Idid Syed Ahmed Idid berkata pembukaan laluan baharu itu dijangka disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata satu pusingan U sementara akan dibuka di sepanjang laluan Seksyen 4 berkenaan yang membolehkan pengguna jalan raya dari arah Lebuhraya Persekutuan untuk kembali ke arah asal yang dapat mengurangkan kesesakan aliran trafik di sekitar Klang, Shah Alam, Subang serta Petaling Jaya.
“Memandangkan pembinaan di kawasan Kampung Jawa masih dijalankan dan bahagian Seksyen 4 telah siap, kami memutuskan untuk membuka satu pusingan U sementara bagi membolehkan pengguna dari arah Petaling Jaya, Subang, Shah Alam dan Klang menikmati perjalanan lebih lancar serta kurang sesak,” katanya kepada Bernama selepas majlis agihan Makanan Ramadan WCE di sini, hari ini.
Kemudahan itu dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar sementara menunggu Seksyen 3 siap yang akan menghubungkan sepenuhnya Seksyen 2 dan Seksyen 4 menjelang akhir 2026.
Apabila siap kelak, kemudahan pusingan U sementara itu akan ditutup.
Lebuhraya WCE sepanjang 233 kilometer itu menghubungkan Banting, Selangor dengan Taiping, Perak dan jajaran di Perak sudah pun beroperasi sepenuhnya yang menghubungkan Hutan Melintang, Teluk Intan, Lekir, Ayer Tawar, Changkat Jering, Beruas dan Taiping Selatan.
Selain itu di Selangor, beberapa persimpangan terbabit telah dibuka, termasuk persimpangan Assam Jawa, Kapar, Klang Utara, Klang Selatan dan Banting serta Seksyen 2 yang bersambung dengan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).
-- BERNAMA








