Kastam tumpas cubaan seludup dadah, sita mata wang asing RM3.26 juta

9 Mac 2026, 8:37 AM
Kastam tumpas cubaan seludup dadah, sita mata wang asing RM3.26 juta

SEPANG, 9 MAC: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menumpaskan cubaan penyeludupan dadah serta menyita pelbagai mata wang asing dengan nilai keseluruhan RM3.26 juta dalam tiga kes berasingan pada Januari dan Februari lalu.

Pengarah JKDM KLIA Zulkifli Muhammad berkata pada 29 Januari lalu, pasukan operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM KLIA bersama Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1 (CPP 1) serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Terminal 1 menahan seorang lelaki warga Tanzania berusia lingkungan 50-an di Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal 1 kerana disyaki mengedar dadah melalui kaedah ‘body packer’.

"Pemeriksaan imbasan badan terhadap suspek menemukan objek mencurigakan dalam bahagian abdomen sebelum lelaki itu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemeriksaan mendapati 101 kapsul berbalut plastik lutsinar mengandungi serbuk putih disyaki kokain dikeluarkan daripada badan suspek dan jumlah rampasan dianggarkan 1,629.20 gram dengan nilai RM733,140," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zulkifli suspek dituduh di mahkamah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati.

Sementara itu pada 6 Februari lalu beliau berkata pasukan operasi CPP 1 dan AKPS Terminal 1 menahan seorang pengembara warga Bangladesh di Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal 1 kerana disyaki membawa masuk mata wang asing tanpa membuat pengisytiharan.

Pemeriksaan terhadap bagasi milik pengembara itu menemukan wang tunai dalam pelbagai mata wang iaitu Saudi Riyal, euro dan pound sterling yang disembunyikan di dalam pelapik lipatan kemeja bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Pengembara gagal membuat pengikraran di dalam Borang Kastam 7 ke atas amaun tunai yang hendak dibawa masuk ke Malaysia, dan melanggar Peraturan 55(1)(b) Peraturan Kastam 2019 yang mewajibkan pengembara mengisytihar amaun tunai dan instrumen boleh niaga bersamaan atau melebihi USD10,000 yang ingin dibawa masuk ke Malaysia.

"Nilai keseluruhan sitaan mata wang tersebut dianggarkan RM2.41 juta dan kes disiasat di bawah Seksyen 28B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 yang mana jika disabitkan kesalahan melanggar subseksyen (1) suspek boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," kata Zulkifli.

Bagi kes ketiga beliau berkata pada 10 Februari lalu, seorang pengembara warga Indonesia ditahan di Balai Pelepasan Antarabangsa Terminal 2 KLIA kerana disyaki cuba membawa keluar mata wang Ringgit Malaysia tanpa pengisytiharan serta kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau berkata pengembara tersebut tidak membuat pengikraran ke atas amaun tunai yang hendak dibawa keluar dari Malaysia, dan melanggar Peraturan 55(1)(b) Peraturan Kastam 2019.

"Peraturan tersebut menyatakan pengembara yang ingin membawa keluar amaun tunai dan instrumen boleh niaga pembawa yang keluar dari Malaysia untuk mengikrarkannya menggunakan Borang Kastam No 7 sekiranya amaun tunai atau instrumen boleh niaga pembawa melebihi atau bersamaan nilai USD 10,000.

"Selain daripada itu, kelulusan dari BNM bagi mata wang Ringgit Malaysia perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum mata wang tersebut dibawa keluar dari Malaysia," katanya.

Zulkifli berkata hasil pemeriksaan, anggota operasi CPP 2 dan AKPS Terminal 2 telah menemukan mata wang Ringgit Malaysia yang disembunyikan di dalam satu bagasi milik pengembara tersebut dan kes kemudiannya telah diserahkan ke Bahagian Penguatkuasaan LTAKL untuk tindakan lanjut.

"Nilai sitaan mata wang tersebut berjumlah RM120,100 dan kes disiasat di bawah Seksyen 28B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 yang mana jika disabitkan kesalahan melanggar subseksyen (1) suspek boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.