SHAH ALAM, 9 MAC: Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menyelaras operasi evakuasi rakyat Malaysia dari zon konflik di Asia Barat dengan kerjasama rapat Kementerian Luar Negeri (KLN) melalui pejabat perwakilan Malaysia di negara-negara berkaitan.
Dalam kenyataan hari ini, MKN memaklumkan operasi tersebut kini berada pada fasa akhir persiapan susulan perkembangan keselamatan yang semakin meruncing di rantau berkenaan.
Menurut kenyataan itu, operasi evakuasi berkenaan dilaksanakan atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia di kawasan terlibat sentiasa terpelihara.
“MKN bersama KLN juga akan menyalurkan perkembangan operasi ini secara berkala kepada semua pihak sehingga keseluruhan proses membawa pulang rakyat Malaysia selesai,” menurut kenyataan itu.
Kerajaan Malaysia turut memberi jaminan akan mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan rakyat Malaysia yang terjejas dapat kembali ke tanah air dengan selamat.
Operasi tersebut dilaksanakan susulan ketegangan konflik di Asia Barat yang semakin memuncak kebelakangan ini.








