Tunggakan pencen: Kerajaan menang rayuan, tidak perlu bayar RM1.7 bilion

9 Mac 2026, 6:15 AM
Tunggakan pencen: Kerajaan menang rayuan, tidak perlu bayar RM1.7 bilion

PUTRAJAYA, 9 MAC: Kerajaan hari ini berjaya dalam rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkannya membayar tunggakan pencen berjumlah RM1.7 bilion kepada 531,976 pesara berdasarkan gaji terakhir mengikut Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam 2016.

Keputusan berkenaan dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Lim Chong Fong, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid, dalam permohonan semakan kehakiman difailkan Aminah Ahmad, yang bersara sebagai penjawat awam di Kementerian Luar.

Dalam keputusan sebulat suara itu, Azhahari berkata isu pelarasan pencen telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini pada 2022 berhubung tindakan undang-undang pertama Aminah (saman pemula (OS) pada 2017.

Berikutan keputusan hari ini, kerajaan tidak lagi perlu membayar jumlah tersebut kepada pesara berkenaan.

Aminah, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 12 Jan 2024, atas kapasiti beliau sendiri dan bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam.

Azhahari berkata kelayakan pencen Aminah serta haknya terhadap tunggakan, yang merupakan perkara utama dalam OS 2017, telah diputuskan Mahkamah Rayuan.

“Oleh itu, isu estoppel akan menghalangnya daripada membicarakan semula perkara sama pada permohonan semakan kehakiman. Walaupun res judicata tidak terpakai, mahkamah juga harus mempertimbangkan sama ada doktrin penyalahgunaan proses terpakai kepada fakta kes,” katanya.

Azhahari berkata dalam rayuan semasa, hakim Mahkamah Tinggi dalam permohonan semakan kehakiman itu tidak mempertimbangkan doktrin penyalahgunaan proses.

“Pada pandangan kami, hakim Mahkamah Tinggi telah melakukan kesilapan apabila hanya mempertimbangkan kebolehgunaan doktrin res judicata sahaja, tanpa mempertimbangkan doktrin penyalahgunaan proses serta mengaplikasikannya kepada fakta kes,” katanya.

Menurut hakim, pemohon (Aminah) tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan hakim Mahkamah Tinggi dalam OS 2017 yang memutuskan bahawa beliau gagal membuktikan kerugiannya akibat Seksyen 3 dan 4 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA 2013).

Azhahari berkata hakim Mahkamah Tinggi telah memutuskan hujah pemohon bahawa pelaksanaan kadar kenaikan pencen tahunan dua peratus lebih merugikan berbanding pelarasan pencen berdasarkan semakan gaji sebelum pindaan di bawah Akta Pindaan 2013 adalah tidak benar, justeru isu kerugian tersebut tidak terbukti.

“Pada pandangan kami, isu kerugian yang dibangkitkan dalam OS 2017 adalah bertujuan menyokong permohonan untuk pembayaran tunggakan pencennya,” katanya.

Hakim berkata Pekeliling No. 1 Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) 2016 sepatutnya dibangkitkan dalam OS 2017 dan isu mengenai kelayakan pemohon terhadap penyelarasan pencen berdasarkan Akta Pindaan 2013 sebelum pindaan adalah sebahagian daripada tuntutan dalam OS 2017.

“Ia sepatutnya dibangkitkan sebagai sebahagian daripada perkara dalam OS 2017, tetapi ia tidak dilakukan, mungkin disebabkan kecuaian atau kesilapan. Dalam keadaan ini, menurut undang-undang, permohonan semakan kehakiman dihalang oleh prinsip res judicata sebagai isu estoppel,” katanya.

Beliau seterusnya berkata Mahkamah Rayuan berpendapat permohonan semakan kehakiman itu merupakan penyalahgunaan proses, dengan niat untuk membincangkan semula isu pembayaran tunggakan dalam pelarasan pencen.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.