Dakwaan jatuhkan kerajaan serius, serah siasatan kepada PDRM

27 Feb 2026, 10:11 AM
Dakwaan jatuhkan kerajaan serius, serah siasatan kepada PDRM

PUTRAJAYA, 27 FEB: Kerajaan memandang serius dakwaan berhubung cubaan pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara, kata Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat dakwaan tersebut.

“Ini satu perkara yang sangat serius dan sudah pasti kita serahkan kepada pihak PDRM untuk melakukan siasatan,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail hari ini berkata polis sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara melibatkan seorang individu berpengaruh tempatan dengan agensi media antarabangsa.

Mohd Khalid berkata pihaknya menerima laporan berhubung perkara tersebut semalam dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan iaitu dengan apa-apa cara, secara langsung atau tidak langsung, melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen, apabila disabitkan hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh boleh dilanjutkan hingga 20 tahun.

Mengenai dakwaan wujud aktiviti penjualan data membabitkan beberapa kementerian, Fahmi berkata beliau akan menghubungi Majlis Keselamatan Negara dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu.

“Perkara libat isu keselamatan siber diteliti oleh pihak NACSA. Setakat ini, Kementerian Komunikasi sendiri belum menerima apa-apa maklumat dan Jemaah Menteri tidak membincangkan perkara ini,” katanya.

- BERNAMA