ad

Mahkamah arah kerajaan bayar RM31 juta kepada waris Raymond Koh

5 Nov 2025, 1:25 PM
Mahkamah arah kerajaan bayar RM31 juta kepada waris Raymond Koh

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membayar pampasan melebihi RM31 juta kepada waris Pastor Raymond Koh susulan dakwaan penglibatan kerajaan dalam kes penculikannya lapan tahun lalu.

Hakim Datuk Su Tiang Joo mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi RM10,000 sehari bermula 13 Februari 2017, iaitu tarikh kehilangan Raymond sehingga dia ditemui, selain kos RM250,000 kepada pihak plaintif, lapor Sinar Harian.

Dalam prosiding itu, mahkamah memutuskan bahawa satu atau lebih defendan terdiri daripada pegawai polis, termasuk bekas pegawai, terlibat dalam penculikan Raymond dan tindakan mereka dilakukan mengikut “satu arahan”.

Raymond diculik ketika memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya, dan sehingga kini telah hilang selama 3,188 hari. Mahkamah sebelum ini dimaklumkan bahawa lima lelaki bertopeng berpakaian seragam hitam menyerupai anggota tentera menariknya keluar dari kenderaan.

Isterinya, Susanna Liew, kemudian memfailkan saman terhadap kerajaan dan polis atas dakwaan penglibatan pihak berkuasa serta kelemahan siasatan kes tersebut.

Pada 24 September 2024, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan bahawa laporan Pasukan Petugas Khas yang diserahkan kepada keluarga Raymond dan peguam telah diubah, sambil menjelaskan laporan itu diklasifikasikan sebagai dokumen rasmi kerajaan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas Khas pada 2019 bagi menyiasat kehilangan Raymond pada 2017 dan aktivis sosial Amri Che Mat yang hilang setahun lebih awal.

Dalam prosiding sama, mahkamah turut mengarahkan kerajaan dan polis membayar lebih RM3 juta kepada isteri Amri, Noorhayati Mohd Ariffin, meliputi ganti rugi am dan teruk RM2 juta, ganti rugi teladan RM1 juta, serta ganti rugi khas RM14,457.52.