Festival kesenian Islam di Ampang satukan masyarakat pelbagai kaum

8 Mac 2026, 9:40 AM
Festival kesenian Islam di Ampang satukan masyarakat pelbagai kaum

AMPANG, 8 MAC: Penganjuran Festival Kesenian Islam: Alunan Mahabbah Ramadan di Laman Santai @ Ampang Point menjadi platform menyatukan masyarakat berbilang kaum untuk bersama-sama menghayati kemeriahan bulan Ramadan.

Bagi Veer Singh yang pertama kali menghadiri program seumpama itu, festival berkenaan membuka peluang kepadanya mengenali budaya masyarakat Islam serta memahami penghayatan Ramadan dengan lebih dekat.

“Saya datang bersama kawan-kawan dan ini kali pertama saya pergi ke program seperti ini. Ia pengalaman yang menarik kerana kita dapat belajar tentang Ramadan dan budaya masyarakat Islam,” kata ketika ditemui Media Selangor semalam.

Veer Singh

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Eddy Kamal Kamaluddin berkata penganjuran festival tersebut membantu menghidupkan suasana di kawasan berkenaan yang sebelum ini agak sunyi.

“Kawasan Laman Santai @ Ampang Point biasanya agak sunyi. Tetapi dengan adanya program seperti ini, suasana menjadi lebih meriah dan orang ramai datang berkumpul,” katanya.

Eddy Kamal Kamaluddin

Dalam pada itu, peniaga Syuhaiqal Tajul Ariffin berkata festival berkenaan turut memberi peluang kepada usahawan kecil meningkatkan hasil jualan menjelang Aidilfitri.

Katanya program sedemikian juga menjadi platform untuk mengetengahkan produk tempatan kepada orang ramai.

“Saya harap program seperti ini dapat diteruskan lagi kerana bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat, tetapi mampu meningkatkan ekonomi masyarakat,” jelasnya.

Syuhaiqal Tajul Ariffin

Festival Kesenian Islam: Alunan Mahabbah Ramadan berlangsung selama dua hari dari 7 hingga 8 Mac di Laman Santai @ Ampang Point, Ampang

Pelbagai pengisian menarik disediakan kepada pengunjung termasuk program Nuzul al-Quran, jualan gerai, agihan bubur lambuk serta pelbagai aktiviti kekeluargaan.

Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada kumpulan nasyid Hijjaz, Qathrunnada dan Angham Anisah.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.