Ceria sambut Aidilfitri, penerima bantuan Yayasan TM Selangor luah rasa syukur

8 Mac 2026, 12:42 AM
Ceria sambut Aidilfitri, penerima bantuan Yayasan TM Selangor luah rasa syukur
Ceria sambut Aidilfitri, penerima bantuan Yayasan TM Selangor luah rasa syukur

PETALING JAYA, 8 MAC: Penerima bantuan program Cahaya Ramadan anjuran Yayasan Telekom Malaysia (TM) Selangor meluahkan rasa syukur apabila sumbangan bakul makanan dan duit raya yang diterima membantu meringankan beban, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Bagi Alfrida Tawakal, 32, bantuan itu amat bermakna buat keluarganya kerana ini kali pertama beliau menerima sumbangan seumpama itu selain memberi sedikit kelegaan dalam menguruskan perbelanjaan harian.

Alfrida Tawakal

“Saya sangat bersyukur kerana bantuan ini dapat meringankan beban kami sekeluarga memandangkan hanya suami sahaja yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang.

Duit raya yang diterima ini saya bercadang gunakan untuk membeli kelengkapan baju raya anak-anak bagi menyambut Aidilfitri tidak lama lagi. Bantuan ini sememangnya memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan,” katanya kepada Media Selangor.

Abdul Razak Alang Nashib

Sementara itu, Abdul Razak Alang Nashib, 78, berkata sumbangan yang diterima amat dihargai memandangkan beliau kini tidak lagi bekerja dan tidak mempunyai pencen sekali gus menjadikan bantuan tersebut sangat bermakna buat dirinya dan keluarga.

“Alhamdulillah, rezeki kami sekeluarga di bulan Ramadan kerana masih ada pihak yang prihatin dan sudi membantu golongan seperti kami. Bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban perbelanjaan harian saya dan isteri yang menjaga anak orang kurang upaya (OKU) di rumah,” katanya.

Manakala bagi Muhammad Ramli, 54, pula, pengalaman ini amat bermakna kerana beliau tidak menyangka akan menerima sumbangan tersebut memandangkan ini adalah kali pertama beliau terpilih sebagai penerima bantuan.

Muhammad Ramli

“Sejak diserang strok pada 2016 yang menyebabkan sebelah kanan badan saya lumpuh, saya tidak lagi mampu bekerja dan kini tinggal bersama ibu dan bapa selain perlu bergantung kepada bantuan sokongan mereka untuk meneruskan kehidupan seharian.

“Alhamdulillah, saya tidak menyangka akan menerima bantuan ini termasuk duit raya sekali. Inisiatif seperti ini sangat baik kerana dapat membantu mengurangkan perbelanjaan kami sekeluarga terutamanya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri,” tambahnya.

Semalam, seramai 195 penerima terdiri daripada golongan asnaf, anak yatim dan keluarga B40 menerima sumbangan bakul makanan serta duit raya sempena Ramadan menerusi program kebajikan anjuran Yayasan Telekom Malaysia (TM) Selangor.

Bantuan melibatkan penduduk dari tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Gasing, Seri Setia dan Taman Medan itu bertujuan meringankan beban perbelanjaan sepanjang Ramadan selain membantu persiapan menyambut Aidilfitri.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.