SHAH ALAM, 7 MAC: Seorang warga emas berdepan detik cemas apabila terjatuh ke dalam sebuah perigi di Jalan Telok Air Tawar, Butterworth dan dipercayai terperangkap selama dua hari sebelum disedari serta diselamatkan orang awam, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.29 petang tadi.
Susulan itu, katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth segera dikejarkan ke lokasi kejadian.
Setibanya di tempat kejadian, pasukan mendapati mangsa lelaki berusia 63 tahun yang juga seorang gelandangan itu berjaya dibawa keluar dari perigi sedalam kira-kira lima meter dengan bantuan orang awam.
"Mangsa mengalami kecederaan ringan dan berada dalam keletihan selepas dikatakan terjatuh ke dalam perigi itu selama dua hari.
"Mangsa kemudian diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata mangsa dipercayai ingin mandi sebelum terjatuh ke dalam perigi berkenaan, namun bernasib baik kerana air ketika itu hanya paras dada.
Katanya, operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.33 petang tadi.








