Dua pegawai kanan, anggota polis ditahan kes samun berkumpulan

7 Mac 2026, 2:08 PM
Dua pegawai kanan, anggota polis ditahan kes samun berkumpulan

SHAH ALAM: Dua pegawai kanan dan seorang anggota polis antara enam lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes samun berkumpulan di daerah Gombak pada 27 Februari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.30 pagi sebelum pihaknya melancarkan operasi khas bagi menjejaki individu terlibat.

Menurutnya, hasil risikan dan siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak membawa kepada beberapa tangkapan bermula 2 Mac lalu.

“Dalam operasi berkenaan, polis menahan enam lelaki warga tempatan di beberapa lokasi berasingan.

“Daripada jumlah tersebut, tiga suspek merupakan penjawat awam iaitu dua pegawai kanan dan seorang anggota polis, manakala tiga lagi orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shazeli berkata, siasatan turut mendapati seorang suspek awam yang ditahan mempunyai 20 rekod jenayah lampau.

Kesemua suspek kini direman sehingga 8 Mac bagi membantu siasatan lanjut.

“Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM11,498 serta beberapa barang kes lain.

“Antara yang dirampas termasuk sebuah kenderaan Mercedes-Benz, sebuah Chery Omoda 5 dan sebuah van jenis Toyota Hiace.

"Turut dirampas tiga helai vest bertulis ‘Polis’, dua ketulan emas seberat 100 gram serta 13 telefon bimbit pelbagai jenama," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut turut membawa kepada usaha mengesan dua lagi suspek yang dipercayai masih bebas.

Tegasnya, Polis Kontinjen Selangor tidak akan berkompromi dalam siasatan walaupun kes tersebut melibatkan anggota pasukan sendiri.

“Siasatan telus dan menyeluruh sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil bagi memastikan integriti pasukan serta keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.