Sembilan tan sampah, barang lusuh dari rumah warga emas

7 Mac 2026, 6:12 AM
Sembilan tan sampah, barang lusuh dari rumah warga emas

SHAH ALAM, 8 MAC: Sembilan tan sampah sarap, barangan lusuh dan terpakai dikeluarkan dari sebuah rumah warga emas di Taman Sentosa, Johor Bahru dalam operasi pembersihan yang dijalankan kelmarin.

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) kawasan Taman Sentosa/Taman Pelangi, Sally Ng Lied Ying berkata 10 pekerja pembersihan terlibat dalam operasi berkenaan dengan bantuan tiga tong roro dan sebuah jengkaut.

Menurutnya, kerja pembersihan mengambil masa kira-kira tiga jam bagi mengeluarkan semua sisa yang terkumpul di kediaman tersebut.

“Kita turut mendapat bantuan daripada pihak polis bagi memastikan warga emas itu tidak mengganggu ketika kerja pembersihan dijalankan,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau berkata pihaknya sebelum ini pernah mencadangkan supaya lelaki berusia 74 tahun yang tinggal bersendirian itu berpindah ke rumah orang tua bagi memastikan kebajikannya lebih terpelihara.

Bagaimanapun, cadangan tersebut ditolak oleh warga emas berkenaan.

Sehubungan itu, Sally berharap lelaki terbabit dapat meninggalkan tabiat mengumpul barangan yang tidak diperlukan.

Pada masa sama, beliau turut menggesa orang ramai agar tidak memberikan barangan terpakai kepada warga emas tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan kediaman lelaki itu kembali dipenuhi sampah sarap sehingga setinggi pagar meskipun pernah dibersihkan kira-kira tujuh bulan lalu.

Tabiat mengumpul barangan yang berlarutan sejak kira-kira 30 tahun lalu itu menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan penduduk setempat yang bimbang keadaan berkenaan boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Difahamkan, warga emas tersebut mempunyai tiga anak yang kini menetap di Singapura manakala isterinya yang berasal dari Taiwan telah pulang ke negara asalnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.