JPJ Selangor sita kenderaan dipandu warga asing dalam operasi di Banting

6 Mac 2026, 6:26 AM
JPJ Selangor sita kenderaan dipandu warga asing dalam operasi di Banting

SHAH ALAM, 6 MAC: Sebuah kenderaan yang dipandu warga asing disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor dalam Operasi Kenderaan Perdagangan di Jalan Pendamar, Banting, semalam.

JPJ Selangor memaklumkan tindakan itu diambil selepas pemeriksaan mendapati pelbagai pelanggaran peraturan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 1987 (APAD) dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ).

“Antara kesalahan dikesan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 1987 ialah membawa barangan melebihi had muatan yang dibenarkan serta gagal mengambil langkah keselamatan bagi melindungi pengguna jalan raya,” katanya menerusi kenyataan.

“Turut dikesan ialah kesalahan melanggar syarat lesen berkaitan keperluan tahap perkhidmatan selain gagal mempamerkan salinan lesen pengendali,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ) turut dikesan melibatkan pemandu atau pemilik kenderaan yang tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) bagi kenderaan melebihi 250cc serta tiada lesen vokasional barangan (GDL).

Kenderaan yang disita kemudian dibawa ke Stesen Penguat Kuasa (SPK) Banting untuk tindakan lanjut. Foto Facebook JPJ Selangor

Turut dikesan ialah kesalahan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh selain kenderaan tidak menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

"Kenderaan yang terlibat kemudian disita dan dibawa ke Stesen Penguat Kuasa (SPK) Banting untuk tindakan lanjut," katanya.

JPJ Selangor menegaskan pihaknya akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan semua kenderaan mematuhi peraturan serta undang-undang jalan raya yang ditetapkan.

Orang awam yang ingin menyalurkan aduan berkaitan kesalahan lalu lintas boleh berbuat demikian melalui emel aduantrafik@jpj.gov.my atau menerusi aplikasi e-Aduan@JPJ dengan menyertakan butiran pengadu serta maklumat aduan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.