SHAH ALAM, 5 MAC: Kerajaan Negeri akan meneruskan pemberian baucar buku kepada mahasiswa anak negeri tahun ini bagi menyuburkan minat membaca serta memupuk budaya cinta ilmu dalam kalangan golongan muda.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu menyasarkan 10,000 mahasiswa berbanding 4,000 penerima tahun lalu dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2 juta.
“Setiap mahasiswa akan menerima baucar bernilai RM200 untuk membeli buku kegemaran masing-masing,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut beliau, program tersebut merupakan satu bentuk pelaburan modal insan yang penting dalam melahirkan generasi berilmu, sekali gus menjadi kunci kepada kemajuan negeri.
Amirudin turut berpandangan bahawa pembacaan buku fizikal mampu membantu mahasiswa meningkatkan tahap tumpuan selain memperkukuh minat terhadap ilmu.








