Perebutan kawasan punca gaduh di balai polis

5 Mac 2026, 8:00 AM
Perebutan kawasan punca gaduh di balai polis

SHAH ALAM, 5 MAC: Perebutan kawasan bagi menyediakan perkhidmatan sekuriti di tapak perumahan menjadi motif pergaduhan melibatkan dua kumpulan di Balai Polis Meru, Kapar, Isnin lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata siasatan mendapati semua suspek yang ditahan mengenali di antara satu sama lain dan mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap, lapor Berita Harian.

Menurut beliau, sebahagian suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes kekerasan, bunuh, cubaan bunuh, samun berkumpulan dan pecah rumah, malah seorang daripada suspek dikehendaki dibawah Seskyen 3 (1) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959

"Sehingga kini, lapan lelaki tempatan ditahan dalam tiga siri tangkapan berasingan. Tangkapan pertama seramai lima suspek berumur 28 hingga 41 tahun dan reman disambung sehingga esok.

"Tangkapan kedua membabitkan dua lelaki berusia antara 39 hingga 44 tahun, juga direman sehingga esok manakala seterusnya tangkapan ketiga membabitkan seorang lelaki berumur 38 tahun yang direman bermula 5 Mac hingga 7 Mac,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Shazeli berkata polis turut merampas satu helmet dan sebatang besi paip yang disyaki digunakan dalam kejadian itu.

"Saringan awal air kencing mendapati, salah seorang suspek positif dadah," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan awal mendapati yang terbabit dalam pergaduhan dan masuk ke balai itu di bawah pengaruh alkohol.

"Kumpulan pertama yang datang membuat laporan polis laporan berkaitan dengan pertelingkahan mengenai kawasan sekuriti, ada aspek ketidakpuasan sebelum didatangi lima lagi suspek.

"Pada masa sama, polis sedang menyiasat sama ada sah atau tidak sah perkhidmatan kawasan sekuriti yang dijalankan," katanya.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967, serta Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan Dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.

Mengulas lanjut, Shazeli menjelaskan Balai Polis Meru adalah sebuah balai polis di kawasan lot kedai yang tiada pagar atau kawalan sentri.

"Kebetulan Balai Polis Meru tidak ada 'compound security' seperti sesetengah balai lain yang ada pagar, ada pintu dan juga ada sentri berkawal. Rumah kedai ini agak terhad, tiada pagar. Ada pintu hadapan dan terus kepada pejabat pertanyaan.

"Di situlah salah satu aspek kelemahan yang kami akan usaha untuk membaiki dan perkemaskan supaya balai-balai polis yang bersifat rumah kedai ini dipertingkatkan aspek kawalan keselamatan pada masa depan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.