SHAH ALAM, 5 MAC: Seorang pemandu treler melalui detik cemas selepas kenderaan dipandunya merempuh dua kereta sebelum terbabas dan terjunam ke dalam parit di Tali Air 7, Sungai Leman, Sekinchan malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.53 malam.
Menurutnya, seramai lapan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai.
“Siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah treler dan dua kereta, dengan pemandu treler tersepit di bahagian tempat duduk pemandu,” katanya dalam kenyataan.
Mangsa kemudian berjaya dikeluarkan anggota bomba dan dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.








