SHAH ALAM, 22 JUN: Sebuah bangunan di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Serong di sini mengalami kerosakan selepas terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.50 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, jentera pertama tiba pada jam 1.01 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan bangunan sekolah jenis kekal yang menempatkan bilik pentadbiran serta pusat sumber.
“Kebakaran melibatkan dua bilik iaitu bilik pentadbiran dan bilik unit sumber dengan keluasan kira-kira 60 x 25 kaki persegi.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi pemadaman dijalankan menggunakan sumber air daripada pili bomba dengan tiga aliran sepanjang 200 kaki dan tiga pancutan nozel.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.13 pagi sebelum kerja-kerja pemeriksaan dan overhaul dilakukan bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
“Pasukan bomba berjaya memadamkan kira-kira 80 peratus kebakaran sebelum baki api dipadamkan sepenuhnya.
“Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut dimaklumkan bagi tujuan pemotongan bekalan elektrik di lokasi kejadian,” katanya.
Operasi turut mendapat bantuan daripada BBP Kuala Selangor dan BBP Sungai Besar dengan kekuatan keseluruhan 13 anggota serta tiga jentera iaitu dua Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Water Tanker (WT).
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.56 pagi.








