Selangor perkukuh status hab inovasi sains hayat serantau

4 Mac 2026, 8:04 AM
Selangor perkukuh status hab inovasi sains hayat serantau

SHAH ALAM, 4 MAC: Selangor terus mengukuhkan kedudukan sebagai hab inovasi sains hayat Asia Tenggara apabila Program Pemecut Sains Hayat Selangor 2025 (SLSAP 2025) menampilkan 10 syarikat terbaik pada acara Demo Day, dengan potensi pelaburan antara RM50,000 hingga RM250,000 bagi setiap syarikat.

Invest Selangor Berhad menerusi kenyataan memaklumkan program yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu itu menerima 168 permohonan daripada syarikat yang sedang berkembang dalam bidang bioteknologi, kesihatan digital, agritech, bahan termaju serta penyelesaian mampan.

Daripada jumlah tersebut, 21 syarikat berpotensi tinggi dipilih menyertai program pemecut intensif selama tujuh bulan yang merangkumi lebih 280 jam bimbingan berstruktur. Ia melibatkan penilaian pelabur, sokongan validasi saintifik, strategi pengkomersialan dan persediaan pengumpulan modal.

Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama firma modal teroka NEXEA yang menyediakan akses kepada rangkaian pelaburan serta laluan komersial. Bagaimanapun, sebarang komitmen pelaburan tertakluk kepada proses usaha wajar dan kelulusan jawatankuasa pelaburan.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam membina ekosistem sains hayat yang berdaya saing.

“Melalui SLSAP 2025, kita bukan sahaja membangunkan syarikat berpotensi tinggi, malah memperkukuh saluran pengkomersialan yang menghubungkan inovasi kepada industri, pelaburan dan pasaran global,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris berkata syarikat terpilih berpeluang menerima pelaburan sehingga RM250,000 setiap satu, selain sokongan berterusan menerusi program pembangunan usahawan dan jaringan pelabur.

10 syarikat terbaik yang diumumkan ialah PlusVibes, YSBiotik Sdn Bhd, GreenSHeart Sdn Bhd, Bioloop Sdn Bhd, Materials In Works, Ocean Rich Resources, Microbiome Sdn Bhd, Health Digital Technologies Sdn Bhd (DoctorOnCall), Pixelence Sdn Bhd dan Promed Health Ventures Sdn Bhd.

SLSAP merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang Selangor untuk memperkukuh pertumbuhan ekonomi berimpak tinggi, sekali gus memastikan syarikat tempatan mampu bersaing di peringkat serantau dan global.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.