SHAH ALAM, 4 MAC: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor memeriksa 71,918 kenderaan di seluruh negeri melalui Op Khas Gempur Kenderaan Perdagangan yang bermula 1 Mac lalu.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata daripada jumlah itu, 5,053 kenderaan dikesan melakukan pelbagai kesalahan, sekali gus membawa kepada pengeluaran 23,471 notis saman sepanjang tempoh operasi.
“Kesalahan tertinggi membabitkan kesalahan teknikal dengan 4,336 kenderaan, diikuti 2,077 kenderaan beroperasi tanpa lesen vokasional (GDL/PSV).
"Selain itu, 1,800 kenderaan dipandu tanpa lesen memandu kompeten (CDL), 1,884 melakukan kesalahan cukai jalan, 689 tiada perlindungan insurans dan 3,204 lagi melakukan kesalahan lain,” katanya.
Daripada 23,471 notis yang dikeluarkan, 14,208 adalah Notis Saman P22, 4,126 notis larangan penggunaan kenderaan, 3,983 notis arahan pemeriksaan, 250 notis hadir siasatan serta lain-lain notis berkaitan.
Azrin menegaskan JPJ Selangor akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan peraturan jalan raya, khususnya di kalangan pengusaha kenderaan perdagangan.
Orang ramai yang ingin menyalurkan aduan berkaitan trafik boleh berbuat demikian melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my
atau aplikasi e-aduan dengan menyertakan maklumat lengkap pengadu dan butiran kesalahan.








