SHAH ALAM, 4 MAC: Seramai 200 asnaf menerima bantuan melalui Program Agihan Fidyah anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berjumlah RM45,570 di Masjid Nurul Ehsan, Taman Medan, semalam.
Agensi itu menerusi Facebook memaklukan bantuan disalurkan dalam bentuk kotak makanan asas bernilai RM227.85 setiap seorang, khusus untuk golongan fakir miskin.
Sementara itu, Setiausaha MAIS Mohd Sabirin Mohd Sarbini menegaskan pengurusan fidyah merupakan amanah besar yang perlu dijalankan dengan integriti, ketulusan dan ihsan.
“Fidyah yang ditunaikan oleh pembayar adalah amanah dan MAIS bertanggungjawab memastikan setiap sen disalurkan secara sistematik serta sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya dipetik ketika berucap merasmikan program berkenaan.
Selain agihan fidyah, program turut diserikan dengan Lawatan Mahabbah Ziarah ke dua rumah asnaf berhampiran bagi meninjau kehidupan penerima serta menyampaikan sumbangan secara terus kepada mereka yang uzur atau tidak dapat hadir ke majlis.
“Inisiatif ziarah ini mencerminkan pendekatan turun padang MAIS dalam memastikan kebajikan asnaf sentiasa dipantau dan disantuni secara berterusan, selaras aspirasi memperkukuh kesejahteraan ummah,” menurut agensi itu.








