ad
AGENSI

Mais sasar kutipan fidyah RM16 juta, galak ganti puasa awal

25 Jan 2025, 9:30 AM
Mais sasar kutipan fidyah RM16 juta, galak ganti puasa awal
Mais sasar kutipan fidyah RM16 juta, galak ganti puasa awal

SHAH ALAM, 25 JAN: Sejumlah RM16 juta kutipan fidyah disasar tahun ini selaras dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti menerusi pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah 2025.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata sebanyak RM12.9 juta berjaya dikutip pada 2024 dengan anggaran RM12.4 juta akan diagihkan tahun ini.

"Kempen ini bertujuan memberi kefahaman dan kesedaran kepada umat Islam untuk menunaikan hutang fidyah selain menggalakkan mereka menggantikan puasa lebih awal sebelum bertemunya Ramadan akan datang.

"Mais turut melantik ejen kutipan fidyah Mais bagi menyebar kutipan fidyah iaitu Lembaga Zakat Selangor (LZS), Malaysia E-Government (MYEG), Bank Muamalat Malaysia Berhad, As-Salihin Trustee Berhad dan Rakyat Trustee Berhad," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Perancangan dan Pewarisan Harta Islam dan Pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

[caption id="attachment_683797" align="alignnone" width="858"] Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (tengah) bergambar pada Majlis Penyerahan Agihan Fidyah dan Pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah 2024 di Dewan Auditorium Dahlia, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 25 Januari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Abdul Aziz menambah Mais menyediakan platform digital kalkulator fidyah iaitu pembayaran secara dalam talian yang boleh didapati menerusi www.mais.gov.my.

"Pembayaran fidyah juga boleh dilaksanakan melalui ejen kutipan fidyah Mais seperti di LZS yang turut menyediakan kemudahan bayaran melalui kaunter dan secara dalam talian," katanya.

Kempen sehingga 28 Februari ini diisi dengan pelbagai aktiviti antaranya pembukaan kaunter runding cara, Hari Bersama Baitulmal, tazkirah Jumaat, siaran langsung di TikTok dan Facebook Mais serta Ops Fidyah di lokasi terpilih.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.