ad
AGENSI

Mais agih fidyah wang saku RM4.7 juta, manfaat 15,613 pelajar kurang mampu

18 Jun 2025, 3:06 PM
Mais agih fidyah wang saku RM4.7 juta, manfaat 15,613 pelajar kurang mampu
Mais agih fidyah wang saku RM4.7 juta, manfaat 15,613 pelajar kurang mampu
Mais agih fidyah wang saku RM4.7 juta, manfaat 15,613 pelajar kurang mampu

SHAH ALAM, 18 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan fidyah wang saku pelajar berjumlah RM4.7 juta kepada 15,613 pelajar kurang berkemampuan di seluruh negeri.

Pengerusinya Dato’ Salehuddin Saidin berkata program daripada salah satu inisiatif agihan fidyah ini bertujuan membantu penerima untuk meneruskan kelangsungan kehidupan semasa belajar.

“Kriteria penerima agihan fidyah wang saku pelajar adalah pelajar-pelajar yang tergolong dalam kalangan yang telah ditetapkan oleh hukum syarak iaitu fakir dan miskin atau miskin sementara yang terkesan akibat musibah.

“Daripada jumlah RM4.7 juta, sebanyak RM1.8 juta diagih kepada institusi pengajian tinggi, RM1.5 juta kepada Jabatan Pendidikan Negeri, RM1.05 juta kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan RM300,000 kepada Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Agihan Fidyah Wang Saku Pelajar Mais di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini, yang turut dihadiri kira-kira 400 penerima.

[caption id="attachment_706141" align="aligncenter" width="688"] Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Senator Dato' Setia Salehuddin Saidin (kanan) merasmikan Majlis Pelancaran Program Agihan Fidyah MAIS Wang Saku Pelajar 2025 di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 18 Jun 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Salehuddin berkata, pelajar yang layak akan menerima RM300 secara sekali bayar sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan yang bertujuan untuk menamatkan kelaparan serta mencapai jaminan makanan bernutrisi.

Melalui agihan ini, katanya, Mais berusaha memastikan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan mendapatkan keperluan makanan harian yang mencukupi, seterusnya menyokong perkembangan akademik dan kesejahteraan secara menyeluruh.

“Selain itu, agihan fidyah wang saku pelajar juga bertujuan untuk memperluaskan manfaat kutipan fidyah di Selangor kepada penerima yang layak,” katanya.

Umat Islam yang ingin menunaikan fidyah boleh melayari portal rasmi www.mais.gov.my untuk maklumat lanjut.

[caption id="attachment_706142" align="aligncenter" width="700"] Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Senator Dato' Setia Salehuddin Saidin berucap ketika Majlis Pelancaran Program Agihan Fidyah MAIS Wang Saku Pelajar 2025 di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 18 Jun 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.