MANILA, 3 MAC: Seorang warga Malaysia antara yang maut dalam nahas helikopter terhempas di kawasan perumahan di Pililla, wilayah Rizal, kira-kira dua jam di tenggara Manila, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.27 pagi itu, helikopter yang membawa lima individu termasuk dua rakyat Malaysia dilaporkan terhempas di kawasan berumput berhampiran kediaman penduduk.
Seorang lagi mangsa yang terkorban ialah warga Filipina yang turut berada dalam helikopter berkenaan.
Pegawai polis wilayah Rizal, Ramjae Pangga, berkata dua penumpang disahkan maut dalam kejadian tersebut.
Juruterbang pula dilaporkan cedera parah, manakala dua lagi mangsa terselamat.
Datuk Bandar Pililla, John Masinsin berkata tiga mangsa yang terselamat masih dalam keadaan terkejut, khususnya juruterbang.
"Mereka kini dalam perjalanan ke sebuah hospital tertiari di (Metro Manila), atas permintaan keluarga masing-masing," katanya.
Beliau turut memuji tindakan pantas juruterbang kerana berjaya mendaratkan pesawat itu di kawasan perumahan tanpa mencederakan orang awam.
Menurut Pangga, pendaratan kecemasan terpaksa dilakukan selepas enjin helikopter itu hampir terhenti.
Siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina. – Agensi







