SHAH ALAM, 3 MAC: Kegiatan curi kabel milik Telekom Malaysia (TM) membawa padah apabila lima individu termasuk tiga wanita didenda oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah.
Nurul Aleeya Aneesya Abd Razak, 23; Nur Allysa Natasha Nor Azlan, 22; dan Nur Shasha Nabila Zamani, 28, masing-masing didenda RM5,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar, lapor Berita Harian.
Mereka didakwa mencuri kabel milik TM di Seksyen 3 pada jam 5 pagi, 20 Februari lalu mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda.
Sementara itu, Mohammed Arif Sharif, 25, dan Mohamad Ridzwan Zainol Abidin, 26, didenda RM250 atau penjara dua bulan selepas mengaku bersalah memiliki peralatan bagi tujuan mencuri tanpa alasan munasabah.
Kesalahan itu dilakukan di Seksyen 7 kira-kira jam 12.08 tengah malam dan didakwa mengikut Seksyen 28(i)(ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Dalam prosiding berasingan, kedua-dua lelaki berkenaan turut mengaku bersalah mencuri soket dan kabel di dalam rumah peti milik TM. Mahkamah menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan tarikh jatuh hukum pada 28 April.
Di mahkamah lain, dua lelaki berusia 40 dan 44 tahun turut mengaku bersalah melupuskan harta curi berupa kabel TM di Kampung Kepayang, Ipoh pada 26 Februari lalu. Mereka dibenarkan ikat jamin RM5,000 dan keputusan hukuman ditetapkan 4 Mei depan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amirah Zahari, Muaz Khawarizmi Azfar dan Nurul Akhilah Rosmi.








