Selangor perhebat pemuliharaan tapir, lindungi habitat kritikal negeri

3 Mac 2026, 7:00 AM
Selangor perhebat pemuliharaan tapir, lindungi habitat kritikal negeri

SHAH ALAM, 3 MAC: Program pembiakan dan pemuliharaan tapir Malaya secara ex situ oleh Kerajaan Selangor merupakan antara inisiatif utama negeri dalam usaha melindungi hidupan liar demi kelangsungan generasi akan datang, kata EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin.

Beliau berkata sejak dilaksanakan di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun (PKHL), Hulu Selangor pada 2004, sebanyak 22 kelahiran tapir Malaya telah direkodkan.

Daripada jumlah itu, 16 ekor telah dilepaskan semula ke habitat semula jadi bagi memperkukuh populasi spesies berkenaan.

“Ketika ini, lapan tapir Malaya dipelihara di PKHL Sungai Dusun sebagai stok pembiakan dan rawatan. Antaranya termasuk seekor tapir bernama Bumi yang menjadi ikon usaha pemuliharaan alam sekitar Selangor sejak 8 Jun 2024.

“Sejak itu, pelbagai inisiatif pemuliharaan biodiversiti dan kempen kesedaran alam sekitar di Selangor, termasuk berkaitan hidupan liar terancam, menggunakan Bumi sebagai simbol,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena Sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia hari ini.

Jamaliah berkata tapir Malaya bersama spesies terancam lain seperti harimau Malaya, harimau dahan, kambing gurun Sumatera, ungka, siamang, memerang dan burung enggang bukan sahaja khazanah biodiversiti negeri, malah menjadi petunjuk keseimbangan ekosistem yang perlu dipelihara bersama.

Menurutnya, melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor, kerajaan negeri komited melindungi habitat kritikal termasuk Hutan Simpan Gading, Semangko, Hulu Selangor, Ampang Pechah, Bukit Kutu, Batang Kali, Serendah, Hulu Gombak, Templer, Ampang, Hulu Langat dan Sungai Lalang bagi memastikan kawasan tersebut terus menjadi habitat selamat hidupan liar.

Beliau turut menegaskan usaha penguatkuasaan diperkukuh menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dan Program Perlindungan serta Rondaan Biodiversiti (BP3) dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa.

“Rondaan berkala, pemantauan habitat dan tindakan tegas terhadap jenayah hidupan liar dilaksanakan secara berterusan bagi menjamin kelangsungan spesies terancam.

“Sempena Hari Hidupan Liar Sedunia, Kerajaan Selangor menegaskan komitmen untuk terus memelihara dan melindungi hidupan liar sebagai khazanah negeri yang tidak ternilai demi memastikan kelestarian biodiversiti untuk generasi akan datang. Tanpa hidupan liar, keseimbangan alam akan terjejas,” katanya.

Apa reaksi anda?