SHAH ALAM, 5 JUN: Penduduk sekitar Subang Jaya khususnya wanita digalak memanfaatkan peluang menjalani saringan kesihatan percuma menerusi program Selangor Saring di Dewan Serbaguna SS15/4, esok.
EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata program yang diadakan sempena Siri Jelajah Wanita Berdaya Tahan Selangor 2026 itu dijadual berlangsung mulai 9 pagi hingga 3 petang.
Menurutnya, peserta boleh menjalani pemeriksaan bagi mengesan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi dan penyakit buah pinggang.
“Peserta boleh mendapatkan pemeriksaan kesihatan melibatkan NCD seperti penyakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang selain saringan kanser termasuk kolorektal, prostat, serviks dan payudara.
“Pemeriksaan mata meliputi masalah rabun, retina dan glaukoma serta saringan tambahan seperti pemeriksaan gigi, fisioterapi dan telinga,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata saringan yang ditawarkan adalah berdasarkan penilaian faktor risiko individu menerusi borang saringan awal dalam aplikasi SELangkah.
Sehubungan itu, orang ramai disaran membuat pra-pendaftaran melalui aplikasi berkenaan bagi memudahkan urusan saringan selain mengambil peluang mengesan risiko penyakit pada peringkat awal.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan menerusi talian hotline Selcare di 1-800-22-6600.

Dalam Belanjawan Selangor 2026, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi meneruskan pelaksanaan program Selangor Saring yang menyediakan kemudahan ujian kesihatan percuma kepada rakyat.
Tahun ini, sekurang-kurangnya 8,000 rakyat Selangor dijangka mendapat manfaat daripada program berkenaan yang memberi tumpuan kepada pengesanan awal penyakit serius termasuk barah dan penyakit tidak berjangkit.






