SHAH ALAM, 3 MAC: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang mengeluarkan makluman persediaan menghadapi fenomena air pasang yang dijangka berlaku dari 3 hingga 7 Mac ini.
Menurut infografik Pusat Operasi Bencana Daerah (DDOC) Klang, paras air laut tertinggi diramalkan mencecah sehingga 5.2 meter pada 4 dan 5 Mac di Stesen Pelabuhan Klang.
Sepanjang tempoh berkenaan, paras air laut dijangka mencatat bacaan antara 4.8 hingga 5.2 meter, manakala hujan diramalkan berlaku di beberapa kawasan pada 4 Mac.
Sementara itu, ribut petir dijangka melanda kebanyakan kawasan pada 3 Mac, manakala fenomena sama diramalkan berlaku di beberapa kawasan pada 6 Mac.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya penduduk di kawasan rendah dan berhampiran pantai dinasihatkan bersedia serta sentiasa peka terhadap keadaan persekitaran.
Makluman tersebut adalah berdasarkan data Jabatan Meteorologi Malaysia dan Pusat Hidrografi Nasional.
Penduduk juga boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Bencana (DDOC) Daerah Klang di talian 03-33829292 sekiranya berlaku kecemasan.











