PUTRAJAYA, 15 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membongkar kegiatan disyaki menyeleweng minyak masak dalam serbuan di sebuah premis di Pelabuhan Klang, Selangor dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan lebih RM211,000.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata operasi yang dijalankan hasil maklumat risikan itu melibatkan 12 pegawai penguat kuasa KPDN yang kemudiannya mendapati sebuah premis perniagaan berpagar dipercayai digunakan sebagai lokasi penyimpanan minyak masak ketika serbuan dijalankan.
Beliau berkata sebanyak 5,091 kilogram (kg) minyak masak paket satu kg serta 5,000 kg cecair disyaki minyak masak yang disimpan di dalam lima tangki kontena pukal pengantaraan (IBC), dua lori rigid, sebuah forklift, mesin pemotong elektronik, pam elektrik, hos, peralatan yang berkaitan serta beberapa unit telefon bimbit disita dalam serbuan itu.
"Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM 211,872.50. Pasukan turut menahan lima individu bagi membantu siasatan, terdiri daripada tiga lelaki warga tempatan dan dua lelaki warga asing," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] kerana memiliki atau berada dalam kawalan barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan.
"Siasatan lanjut turut dijalankan bagi mengenal pasti rantaian bekalan, sumber minyak masak serta penglibatan mana-mana individu atau pihak lain yang mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti perdagangan yang melanggar undang-undang boleh menyalurkannya kepada KPDN menerusi WhatsApp 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN, pusat panggilan 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.







