ISTANBUL, 3 MAC: Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) memaklumkan tiga pesawat pejuang F-15E Strike Eagle miliknya "ditembak jatuh secara tidak sengaja oleh pertahanan udara Kuwait," lapor Anadolu Ajansi.
"Pada 11:03 malam ET (0403 GMT), 1 Mac, tiga pesawat F-15E Strike Eagle AS yang sedang menjalankan misi sokongan bagi “Operation Epic Fury” terhempas di kawasan Kuwait akibat insiden yang dipercayai berpunca daripada 'tembakan rakan sendiri' yang tidak disengajakan," menurut kenyataan itu.
CENTCOM mengesahkan bahawa kesemua enam anak kapal berjaya melenting keluar dengan selamat dan berada dalam keadaan stabil.
"Kuwait telah mengakui insiden ini, dan kami menghargai usaha pasukan pertahanan Kuwait serta sokongan mereka dalam operasi yang sedang berjalan ini," kata CENTCOM.
Pihak berkuasa turut memaklumkan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
- BERNAMA-ANADOLU








