Ketegangan AS-Iran: Operasi Lapangan Terbang Kuwait digantung sementara

18 Jul 2026, 7:33 AM
Ketegangan AS-Iran: Operasi Lapangan Terbang Kuwait digantung sementara

ISTANBUL, 18 JULAI: Operasi pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait digantung sementara, manakala kebanyakan penerbangan dijadualkan semula ekoran langkah itu, menurut syarikat penerbangan nasional Kuwait pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Kebanyakan penerbangan dijadual semula susulan penggantungan sementara operasi pelepasan dan pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait akibat pencerobohan Iran," menurut Kuwait Airways dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita negara, KUNA.

Syarikat penerbangan itu turut menasihatkan penumpang supaya sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai status penerbangan masing-masing.

Perkembangan itu berlaku ketika ketegangan di Asia Barat terus memuncak susulan serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran yang dibalas Tehran dengan melancarkan serangan terhadap beberapa negara di rantau itu, termasuk Kuwait yang menempatkan aset ketenteraan AS.

Serangan antara Washington dan Tehran berlaku meskipun kedua-dua pihak menandatangani memorandum persefahaman yang diusahakan Pakistan pada Jun lalu bagi menamatkan perang dan mencapai perjanjian damai yang berkekalan.

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.