RMS rasmi Masjid Nurul Iman, agih sumbangan raya kepada 556 asnaf

2 Mac 2026, 12:25 PM
RMS rasmi Masjid Nurul Iman, agih sumbangan raya kepada 556 asnaf
RMS rasmi Masjid Nurul Iman, agih sumbangan raya kepada 556 asnaf
RMS rasmi Masjid Nurul Iman, agih sumbangan raya kepada 556 asnaf

KLANG, 2 MAC: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tengku Amir Shah berkenan merasmikan Masjid Nurul Iman, Telok Gadong sempena program Ihya’ Ramadan bersama rakyat, di sini hari ini.

Dalam majlis sama, DYTM Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan sumbangan raya berjumlah RM278,000 kepada 556 penerima, meliputi 188 asnaf fakir, 203 asnaf miskin dan 165 mualaf. Setiap penerima menerima bantuan sebanyak RM500.

Baginda turut berkenan menerima serahan cek cura Wakaf Korporat daripada Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) berjumlah RM200,000 serta Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) berjumlah RM50,000.

Selepas santapan berbuka puasa, baginda menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih berjemaah bersama penduduk setempat.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menghadiri majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan duit raya kepada asnaf di Masjid Nurul Iman, Telok Gadong, Klang pada 2 Mac 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Terdahulu, keberangkatan baginda diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Turut hadir Mufti Selangor Dato’ Setia Dr Anhar Opir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Dato’ Setia Salehuddin Saidin serta Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Masjid yang dibangunkan semula di atas tanah seluas 1.5 ekar itu menelan kos RM12.4 juta menerusi peruntukan Kerajaan Negeri, bagi menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa dan kondusif kepada komuniti Islam setempat.

Pembinaannya bermula pada 2016 sebelum dibuka secara rasmi pada Januari 2019. Reka bentuknya yang moden, dilengkapi ruang solat utama yang luas, kemudahan wuduk, bilik pengurusan jenazah serta fasiliti mesra jemaah termasuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Antara asnaf yang hadir berbuka puasa di Masjid Nurul Iman, Telok Gadong pada 2 Mac 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Masjid berkenaan mampu menampung sehingga 1,500 jemaah pada satu masa, sekali gus berfungsi sebagai pusat ibadah dan aktiviti keagamaan masyarakat sekitar.

Lebih menarik, ia turut dilengkapi 65 panel solar berkapasiti 540 watt setiap satu. Inisiatif tenaga hijau itu membantu menjimatkan kos elektrik bulanan kepada kira-kira RM2,500 berbanding RM4,500 sebelum ini.

Apa reaksi anda?