Sumbangan Aidilfitri kembalikan senyuman anak yatim sambut Syawal

1 Mac 2026, 1:00 PM
Sumbangan Aidilfitri kembalikan senyuman anak yatim sambut Syawal
Sumbangan Aidilfitri kembalikan senyuman anak yatim sambut Syawal
Sumbangan Aidilfitri kembalikan senyuman anak yatim sambut Syawal

KLANG, 1 MAC: Sumbangan Aidilfitri Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) hari ini menyulam kembali senyuman Muhammad Alexander Hanafi, 15, yang kehilangan ibu bapanya akibat Covid-19 lima tahun lalu.

Sejak kehilangan insan tersayang, Syawal bagi remaja yang kini tinggal bersama neneknya di Telok Gadong itu terasa kosong dan tidak lagi semeriah dahulu.

"Sebelum ini saya kurang semangat nak raya sebab mak ayah dah tak ada," katanya ketika ditemui pada Majlis Santunan Anak-Anak Yatim di Masjid Kampung Raja Uda, di sini hari ini.

Muhammad Alexander Hanafi, 15, ditemui pada Majlis Santunan Anak-Anak Yatim di Masjid Kampung Raja Uda, Klang pada 1 Mac 2026.

Namun tahun ini berbeza.

"Saya rasa lebih semangat untuk raya," katanya ringkas.

Bagi Alexander, sumbangan Aidilfitri yang diterima bukan sekadar wang tunai, sebaliknya simbol keprihatinan masyarakat terhadap anak-anak yatim yang diuji kehilangan pada usia muda.

Remaja berusia 15 tahun itu menyimpan impian untuk menjadi chef kerana minat mendalam dalam bidang masakan dan bercadang melanjutkan pengajian dalam jurusan kulinari selepas tamat persekolahan.

Penerima lain, Noor Shaza Syazwina Muhamad Shahrizan, 15, turut meluahkan rasa syukur atas bantuan diterima.

"Saya gembira dan bersyukur. Terima kasih kepada semua yang menyumbang, kami sangat hargai," katanya.

Noor Shaza Syazwina Muhamad Shahrizan, 15, ditemui pada Majlis Santunan Anak-Anak Yatim di Masjid Kampung Raja Uda, Klang pada 1 Mac 2026

Remaja yang tinggal bersama ibunya itu berkata bantuan berkenaan akan digunakan untuk membeli pakaian serta barangan keperluan hari raya.

"Saya nak beli baju raya dan baranga untuk raya," katanya.

Dalam masa sama, beliau turut memasang cita-cita menjadi doktor.

"Saya nak jadi doktor sebab nak bantu dan selamatkan orang," katanya lagi.

Terdahulu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan duit raya kepada 679 anak yatim pada majlis sama di Masjid Kampung Raja Uda.

Secara keseluruhan, seramai 2,218 anak yatim di daerah Klang menerima sumbangan Aidilfitri berjumlah RM332,700 daripada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), dengan setiap penerima menerima RM150 sempena Ramadan dan sambutan Aidilfitri tahun ini.