Rantai leher hampir diragut ketika guna telefon di kedai runcit

1 Mac 2026, 6:23 AM
Rantai leher hampir diragut ketika guna telefon di kedai runcit

SHAH ALAM, 1 MAC: Hasrat seorang wanita untuk berbual santai di hadapan sebuah kedai runcit bertukar detik cemas apabila dia menjadi sasaran cubaan ragut di Bukit Beruntung, Hulu Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 9 malam.

Menurutnya, mangsa mendakwa seorang lelaki yang memakai topi keledar dan jaket hitam datang dari arah belakang sebelum cuba meragut rantai lehernya.

“Suspek menarik tali berwarna kuning yang mempunyai tiga loket keemasan sehingga putus dan terjatuh ke lantai.

“Selepas itu, suspek melarikan diri dengan menaiki motosikal Yamaha Y15ZR berwarna hitam yang ditunggang seorang lagi individu,” katanya dalam kenyataan.

Ibrahim berkata nombor pendaftaran motosikal berkenaan serta arah suspek melarikan diri tidak dapat dipastikan.

Mangsa bagaimanapun selamat dan tidak mengalami sebarang kerugian.

“Polis sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di talian 03-60651021 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.