SHAH ALAM, 23 FEB: Enam keluarga yang terjejas akibat kebakaran lima rumah di Jalan 2/2, Bandar Baru Sungai Buloh petang semalam kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Meranti.
Ahli Parlimen Sungai Buloh, Dato’ Sri Ramanan berkata wakil Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh turun ke lokasi kira-kira jam 12 tengah malam bagi meninjau keadaan mangsa dan menyelaras bantuan segera.

“Kesemua keluarga yang terjejas telah ditempatkan di PPS Dewan Meranti bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.
“Kami juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Shah Alam serta pihak penghulu supaya bantuan keperluan asas dapat disalurkan segera,” katanya menerusi Facebook.
Kebakaran membabitkan rumah Lot 1681 hingga Lot 1685 itu menyebabkan mangsa kehilangan tempat tinggal, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Ramanan berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa dan memastikan segala bentuk bantuan susulan diberikan kepada keluarga terlibat.

Media Selangor melaporkan, tiga rumah musnah hampir sepenuhnya dalam kebakaran di Jalan 2/2, Bandar Baru Sungai Buloh, petang semalam.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.47 petang sebelum tiba di lokasi 10 minit kemudian.







