KOTA BHARU, 4 APR: Kebakaran di Kampung Chabang Tiga, Kedai Buloh, di sini, malam tadi keseluruhannya menjejaskan lapan rumah.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Mohd Farid Ismail berkata berdasarkan maklumat terbaharu, lima daripada rumah berkenaan musnah 100 peratus manakala bakinya terbakar 10 peratus.
“Kebakaran ini menjejaskan banyak rumah disebabkan oleh struktur binaan kayu dan kedudukan rumah terlalu rapat dengan anggaran tiga kaki (0.91 meter) dari rumah ke rumah yang terlibat,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian malam tadi.
Beliau berkata faktor cuaca berangin menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat dan pasukan bomba mengambil masa selama satu jam untuk mengawal api.
“Alhamdulillah, mangsa dapat keluar dari rumah masing-masing. Pada awalnya kita (pasukan bomba) mengalami kesukaran untuk mendapatkan sumber bekalan air bagi operasi pemadaman, namun berjaya ditangani dengan lima rumah berjaya diselamatkan daripada terbakar," katanya.
Sementara itu, seorang mangsa Mohamad Alif Azrul Farhan, 34, berkata ketika kejadian dia berada di dalam rumah dan terkejut apabila api merebak di bahagian dapur.
“Saya tidak sempat nak simbah air sebab api terlalu besar. Alhamdulillah saya tidak mengalami kecederaan," katanya.
Saksi, Abdul Salam Mat Junoh, 30, pula berkata dia terkejut selepas mendengar letupan kuat dari sebuah rumah terlibat.
Malam tadi, setakat empat rumah, sebuah motosikal serta sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dilaporkan terlibat dalam kebakaran terbabit.
Pusat Gerakan Operasi JBPM Kelantan menerusi satu kenyataan memaklumkan menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 9.55 malam sebelum pasukan bomba bersama jentera tiba di lokasi 15 minit kemudian.







