SHAH ALAM, 17 FEB: Seorang penumpang wanita maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 443.2 Lebuhraya Utara–Selatan berhampiran Bukit Beruntung, menghala ke Kuala Lumpur, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.33 pagi.
“Kemalangan membabitkan sebuah lori treler dipandu lelaki berusia lingkungan 40-an yang membawa muatan kapur. Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. Manakala seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang memandu Honda City dilaporkan cedera ringan.
"Dalam kejadian sama, seorang wanita berusia 50-an yang merupakan penumpang Honda City disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Seorang lagi lelaki berusia 30-an yang memandu kereta BMW tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa yang cedera diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan dan rawatan lanjut.
Operasi menyelamat dikendalikan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dengan bantuan tiga jentera iaitu Fire Rescue Tender (FRT), Rapid Response Vehicle (RRV) dan Compact Fire Rescue Tender (CFRT).









